Assalamualaikum,
Hari ini Jumaat, 17 April.
Norma baharu yang paling ketara selepas munculnya coronavirus baharu ini, adalah tiadanya Solat Jumaat. Harapnya tidak berpanjangan. Harapnya ini adalah sementara.
Namun begitu, beberapa perkara yang perlu menjadi rutin baharu adalah
1. Basuh tangan dengan sabun
Kekerapan basuh tangan perlu dipertingkatkan. Bukan hanya sekadar basuh, tapi cuci dengan sabun selama 20 saat (minimum). Hanya dengan sabun, virus ini dapat ditumpaskan sekiranya ia terdapat di permukaan tangan. Dan juga cecair pembasmi kuman, perlu ada di dalam beg jika kita keluar ke mana-mana.
2. Jarak sosial
Jika berada di tempat awam, jarakkan diri dengan orang lain sekurang-kurangnya 1 meter. Ini kita dapat lihat sekarang. Contohnya semasa ingin masuk ke pasaraya, kita beratur jauh sedikit berbanding orang di depan atau belakang.
3. Tidak bersalaman dengan sesiapa
Ini sangat sukar untuk dilakukan, mungkin. Sudah menjadi kebiasaan dan adat orang Malaysia, berjabat tangan dengan sesiapa yang kita jumpa. Tetapi, kini kita sudah tidak boleh melakukannya. Mungkin untuk satu tempoh yang agak lama.
4. Perhimpunan
Tidak kiralah perhimpunan besar, atau perhimpunan keluarga, semua ini sudah tidak dapat dilakukan.
5. Membeli-belah
Rakyat Malaysia memang suka membeli-belah. Selalunya kompleks membeli-belah akan penuh setiap hujung minggu. Kini tidak lagi. Mungkin selepas berakhirnya wabak ini sekalipun, masih ramai yang takut untuk 'window shopping'. Pada waktu ini, perkhidmatan dalam talian dan penghantaran barang ke pintu rumah, telah menjadi norma baharu. Para peniaga secara tidak langsung perlu beralih ke platform dalam talian. Perlu belajar cara urusniaga yang lebih canggih dan cepat.
6. Bekerja dan belajar dari rumah
Saya tidak bekerja secara rasmi. Sekadar bisnes dalam talian. Menjual pasta Eatalian Express, makanan bayi Groomy, ayam organik Delima Emas dan Tupperware. Saya jual apa saya suka. Memang semuanya dari rumah. Ini bukan norma baharu saya. Tapi mungkin baharu untuk kebanyakan rakyat Malaysia (suami saya, contohnya). Penerokaan cara baharu untuk bekerja dan belajar dari rumah, penggunaan aplikasi Zoom, Google Classroom dan lain-lain memungkinkan Malaysia untuk maju setapak lagi. Kini, ia mampu untuk dilakukan. Jadi tiada sebab untuk menyangkal sekiranya ada keperluan dari beberapa pihak yang perlu bekerja dari rumah jika keadaan mendesak.
7. Selamat di rumah sendiri
Buat masa ini, tempat yang paling selamat adalah rumah kita sendiri. Jika sebelum ini kita kerap melancong di dalam dan luar negara, merasakan yang keluar ke tempat-tempat tertentu akan memberikan ketenangan, kini tidak lagi. Rumah kita perlu diberi perhatian, ini adalah masa untuk menghargai apa yang kita ada. Kita bukan terperangkap di dalam rumah, kita sebenarnya selamat di rumah.
Selamat menjalani norma baharu.